PRU-15 : Pas kini di ‘gear’ terakhir

KUALA NERUS 23 Sept. – Pas menjangkakan pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan selesai dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Presiden,  Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, satu perbincangan sudah dilakukan sebelum ini namun tiada keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau yakin isu pembahagian kerusi itu akan diselesaikan selepas beberapa pertemuan diadakan bersama semua pimpinan yang berada dalam PN.

“Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat (dan) kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya selepas Ceramah 3 Menteri Besar Pas dan Pelancaran Jentera PRU-15 di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, Pas juga sudah berada di ‘gear’ terakhir dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15.

“Ini kira ‘gear’ akhir, sudah bersedia sepenuhnya daripada segi jentera.

“Insya-Allah daripada segi parti, kita (juga) masih menunggu mengenai tarikh persiapan PRU-15, tetapi secara keseluruhannya kita dapati negeri-negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

Mengenai manifesto PRU-15 bagi gabungan parti di dalam PN, Tuan Ibrahim berkata, PN sudah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto PRU-15 yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Related posts

Leave a Comment