Anwar bukan liabiliti parti

SHAH ALAM 15 Julai – Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan dan menolak dakwaan kononnya Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah liabiliti dalam parti.

Sebaliknya Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu mengingatkan semua ahli PKR melihat kembali pencapaian parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang sekali gus melambangkan perjuangan Anwar.

“Cerita mengenai Anwar liabiliti ini cerita daripada 1999 lagi dan bukan benda baharu. Masa kami siapkan parti pada 1999 Anwar dipenjara, jadi semua ingat Anwar liabiliti.

“Anwar kembali 2004 dan dia masuk PRU 2008 bawa Pas dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

“Tapi Anwar yang dianggap liabiliti dan simbol keadilan, parti ini pada 2008 menang lima kerusi Parlimen dan 2018 menang 48 kerusi Parlimen dan menjadi kerajaan. Jadi, saya anggap itu sebagai asam garam dalam perjuangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini. 

Ketika menyampaikam ucapan perasmian, Saifuddin berkata, Anwar bukan saja menjadi sasaran kritikan parti lawannya, malah berdepan kecaman dari dalam PKR sendiri.

“Sehinggakan pada tahap bukan sahaja (beliau) ditegur, dikritik dan dihentam terbuka oleh lawan (dan) parti-parti sahabat, bahkan hari ini pun kritikan terbuka terhadap sosok beliau kencang datangnya dari dalam parti dan oleh pimpinan sendiri.

“Malahan sudah ada ungkapan bahawa presiden PKR adalah beban atau liabiliti terhadap partinya sendiri,” katanya.

Saifuddin mengingatkan ahli PKR supaya menjaga disiplin dalam parti dengan menerimanya sebagai pemimpin utama parti.

“Saya mengajak seluruh anggota PKR baca, faham dan renung balik. Pemimpin kita ini nama Anwar ada kekuatan (dan) ada kelemahan, tetapi apabila kita letakkan dia sebagai pemimpin nombor satu, maka kita berilah ketaatan kepada sosok pemimpin ini.

“Ini bukan membodek, tapi taat itu sifat terpuji dan bodek sifat keji,” katanya.

Related posts

Leave a Comment