Gulai Ikan Temenung Haji Jamil

MENYOROK apa pagi ini?

Terlanjur berada di Alor Setar, sahabat saya Sopha Sulaiman mencadangkan untuk menyorok di Kedai Gulai Ikan Temenung, Haji Jamil yang terletak di Jalan Batas Paip, Kuala Kedah, Kedah.

Banyak kedai gulai temenung di Kuala Kedah tetapi kedai ini masih menjadi pilihan untuk menyorok baru-baru ini.

Sebenarnya bukan kali pertama saya mendengar nama kedai itu dan menyorok di situ. Pernah sebelum ini 2017,  bersama seorang lagi sahabat sekolah rendah, Halim Ashaari yang juga tinggal di Alor Setar membawa saya ke situ.

Makan nasi waktu pagi ni bukan luar biasa di mana-mana negeri di Malaysia tetapi biasanya nasi lemak, nasi dagang atau nasi kerabu.

Tetapi kali ini dengan gulai ikan temenung atau orang kota sebut ikan kembung.

Selain ikan temenung ada lagi pelbagai jenis lauk pauk tetapi biasanya apabila ada di situ pilihannya gulai ikan temenung.

Jika nak tambah lauk pun mungkin sekadar ikan masin atau telur masin. Yang lain lupakan dulu. Fokus pada gulai temenung. Pelengkapnya ulam-ulaman dan sambal belacan.

Saya mengambil ikan masin, sayur dan ulam, begitu juga rakan saya ulam dan sayur. Harga yang dikenakan juga amat berpatutan berbanding Kuala Lumpur. Saya membayar tidak sampai RM20, termasuk teh tarik dan teh O limau panas.

Related posts

Leave a Comment