CCTV berfungsi, pentadbir sekolah direhat

SEPANG 19 Nov. – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian seorang pelajar ditemukan meninggal dunia di kawasan sekolah berfungsi dengan baik dan sudah diserahkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, susulan kematian pelajar Tingkatan Tiga sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar itu, beberapa pentadbir sekolah dan guru direhatkan daripada tugas buat sementara waktu.

“Saya memandang serius insiden ini dan sudah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi memastikan siasatan dijalankan secara teliti serta telus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau juga sudah mengarahkan Jemaah Nazir untuk turun ke sekolah berkenaan hari ini bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan terhadap prosedur keselamatan.

“Saya tegaskan kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan, sekiranya dibuktikan menerusi hasil siasatan,” katanya.

Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, beliau berkata, pelajar yang tidak menduduki peperiksaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing esok (Jumaat).

“Bantuan sokongan psikososial turut disediakan kepada mereka yang terkesan dengan kejadian berkenaan.

“Pengarah Pendidikan Negeri Perak serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh sudah tiba di lokasi bagi menyelaras tindakan segera,” katanya.

Sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Fadhlina menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga berkenaan sementara pihak berkuasa melengkapkan siasatan.

“Saya amat memahami betapa beratnya kehilangan seorang anak. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggung keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, di Taiping, bapa kepada pelajar berkenaan mahu siasatan telus dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.

Mohd Idzwan Razali, 48, berkata keluarga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang sebenarnya berlaku.

“Perlu ada siasatan yang telus dan menyeluruh. Itu harapan saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Taiping, di sini hari ini.

Mohd Idzwan berkata, beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya oleh polis dan pengetua sekolah kira-kira pukul 4 petang semalam.

Katanya, anak ketiganya itu bersekolah di sekolah terbabit sejak Tingkatan Satu dan dijangka meneruskan pengajian di situ sehingga Tingkatan Lima.

Related posts

Leave a Comment