Kunjungan hormat TPM Singapura

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura,  Lawrence Wong.

Turut berangkat di Istana Negara adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan isteri Wong, Loo Tze Lui.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Wong kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula 4 September lalu.

Dalam sesi yang berlangsung selama 30 minit bermula pukul 12 tengah hari itu, Seri Paduka Baginda dan  Wong telah menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin seak sekian lama di antara Malaysia dan Singapura.

Baginda menzahirkan pandangan agar, Malaysia dan Singapura terus bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang dan peringkat, lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan pasca Covid-19.

Menurut baginda, adalah penting bagi Malaysia dan Singapura sebagai jiran untuk saling melengkapi manakala hubungan sosial, perdagangan serta pelaburan dapat diperkasakan ke tahap tertinggi untuk manfaat bersama.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Singapura atas persilaan kepada Baginda untuk mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama tiga hari bermula 19 September 2022.

Selesai sesi menghadap, Baginda berdua turut berkenan berangkat ke majlis santapan tengah yang turut dihadiri Lawrence Wong, isteri dan delegasi.

Related posts

Leave a Comment