Dua korban banjir, seorang hilang

BALING 5 Julai – Dua orang disahkan menjadi korban banjir apabila dua mayat, wanita hamil dan ibu mentuanya ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang runtuh.

Kedua-duanya dipercayai dihanyutkan arus kepala air di rumah mereka di Kampung Iboi di sini.

Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan ditemukan bersama, Salmah Mat Akib, 53, pukul 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata kedua-dua mayat mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya bongkah kayu yang dihanyutkan arus deras menghempap rumah mangsa.

“Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan terperangkap di bawah timbunan kayu.

“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama, diikuti mayat kedua,” katanya ketika di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Sayani berkata, tumpuan bomba seterusnya melakukan pencarian remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman yang masih hilang.

Katanya, operasi masih dilakukan di kawasan pencarian dan akan diperluaskan jika perlu dan anjing pengesan JBPM turut digunakan bagi melakukan operasi pencarian hari ini.

Related posts

Leave a Comment