Thailand catat 2,272 kes baharu

BANGKOK 18 Jun – Thailand merekodkan 2,272 kes baharu Covid-19 dengan 23 kematian hari ini, menunjukkan peningkatan berbanding 1,967 kes dan 19 kematian yang dilaporkan semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, jumlah itu tidak termasuk 3,071 keputusan positif hasil ujian antigen dalam tempoh 24 jam yang jika digabungkan membawa kepada 6,072 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,264 kes dalam kalangan penduduk awam, dua dalam kalangan banduan dan enam kes import.

Dengan perkembangan ini juga jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 4,497,152 manakala jumlah yang meninggal dunia pula 30,445.

Setakat semalam, sebanyak 21,315 orang mendapatkan rawatan Covid-19 termasuk 10,475 di hospital, 1,024 di hospital lapangan,  9,635 di rumah atau pusat pengasingan komuniti.

Sebanyak 593 kes dilaporkan kritikal dan 282 bergantung kepada bantuan ventilator

manakala 1,964 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat semalam 138.97 juta dos didaftar di mana 81.8 peratus daripada penduduk mendapat sekurang-kurangnya satu dos, 76.2 peratus mendapat sekurang-kurangnya dua dos dan 41.8 peratus satu dos penggalak.

Sementara itu, mulai 1 Julai, pengembara tidak perlu lagi memohon Pas Thailand dan membeli insurans Covid-19 sebelum masuk ke negara itu dalam usahanya menambah angka ketibaan pelancong dan memulihkan industri pelancongannya.

“Pas Thailand”, merupakan sistem yang mewajibkan pengembara asing menunjukkan salinan dokumen vaksinasi, polisi insurans dan dokumen berkaitan sebelum mereka menerima kod QR untuk digunakan semasa memasuki negara itu. Bagaimanapun, proses pendaftaran pra-ketibaan dan insurans perubatan dilihat telah mengurangkan minat pelancong.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr. Taweesin Visanuyothin berkata pengembara asing masih perlu menunjukkan bukti mereka sudah divaksin atau menunjukkan keputusan ujian Covid-19 negatif bagi yang tidak atau belum lengkap divaksin.

Pengembara juga tidak lagi perlu membeli polisi insurans Covid-19 minimum AS$10,000.

Taweesin berkata arahan memakai pelitup muka juga akan digugurkan kecuali di tempat yang sesak dan tidak mempunyai pengudaraan yang baik.

Pelitup muka diwajibkan di khalayak ramai di Thailand, termasuk di kawasan terbuka, sejak pertengahan 2021 untuk mengekang penularan Covid-19.

Taweesin berkata pusat hiburan akan dibenarkan beroperasi sehingga 2 pagi berdasarkan peraturan pra-pandemik.

Pelonggaran langkah-langkah itu akan berkuatkuasa sebaik sahaja pengumuman rasmi disiarkan dalam Warta Diraja.

Dengan pelonggaran sekatan Covid-19 di negara itu, Thailand dijangka menerima tujuh hingga 10 juta pelancong asing tahun ini.

Dari 1 hingga 15 Jun, Thailand menerima 348,699 warga asing di mana rakyat Malaysia mendahului senarai dengan 61,486, diikuti India (51,800), Singapura (31,580), Vietnam (18,885) dan Amerika (15,708).

Thailand dikunjungi hampir 40 juta orang yang membelanjakan kira-kira 1.91 trilion baht pada 2019.

Related posts

Leave a Comment