X70 : Sasaran jual 2,000 unit sebulan

KUALA LUMPUR 9 Jun – Proton Holdings Bhd menyasarkan untuk menjual kira-kira 2,000 unit Proton X70 2022 sebulan berikutan permintaan yang memberangsangkan untuk varian tersebut, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah.

Beliau berkata bagi kapasiti pengeluaran berikutan isu bekalan cip, pembuat kereta nasional itu bercadang untuk menghasilkan sekitar 3,000 unit sebulan.

“Sekiranya terdapat permintaan yang lebih tinggi, kami akan dapat memenuhi tempahan. Untuk model ini, kami menjangkakan tempoh menunggu kira-kira dua bulan,” katanya pada taklimat media maya sempena pelancaran model baharu itu.

Model X70 2022 berharga dari RM93,900 hingga RM121,800 bagi Semenanjung Malaysia dan RM95,900 hingga RM123,800 bagi Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu juga mengalami peningkatan dalam rantaian bekalannya, ketika negara menuju ke arah fasa endemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang secara keseluruhannya stabil di China.

“Bagi pengeluaran, menerusi enjin pemasangan tempatan, kami mahu memastikan bekalan yang konsisten kepada pengeluaran kami untuk memenuhi tempahan,” katanya.

Berkenaan alat ganti pula, berikutan rantaian bekalan yang lebih baik dan aktiviti ekonomi kembali normal, Roslan berkata Proton telah meningkatkan stok alat ganti dan memastikan pengedar juga mempunyai stok yang mencukupi untuk semua model Proton.

“Kami akan meminimumkan tempoh menunggu yang panjang yang telah kami alami dalam tempoh dua tahun yang lalu,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata Proton akan mengelak daripada menaikkan harga kenderaannya kecuali untuk X70 baharu dan Saga yang baharu dilancarkan di tengah-tengah peningkatan kos pengeluaran.

Beliau berkata pembuat kereta itu akan cuba menampung kenaikan kos pengeluaran seberapa banyak yang mungkin.

Related posts

Leave a Comment