UM kekal 100 terbaik antarabangsa

KUALA LUMPUR 9 Jun – Universiti Malaya (UM) mendahului institusi pendidikan di Malaysia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 dan mengekalkan tempatnya dalam kalangan 100 universiti terbaik antarabangsa untuk tahun kelima berturut-turut.

Berdasarkan laman QS Top University, kedudukan UM bagaimanapun jatuh lima anak tangga apabila kini berada di tempat ke-70 dalam QS World University Rankings 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Antara indikator penilaian yang digunakan untuk menentukan markah ialah reputasi akademik, reputasi majikan, petikan setiap fakulti, nisbah pelajar fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa dan hasil pekerjaan.

Sebanyak 24 institusi pengajian tinggi Malaysia direkodkan tersenarai tahun ini, dengan kebanyakannya meningkatkan kedudukan mereka.

Universiti Putra Malaysia melonjak daripada kedudukan 143 ke 123, iaitu lonjakan sebanyak 20 tangga, manakala Universiti Kebangsaan Malaysia melonjak dari 144 ke 129.

Universiti Sains Malaysia memperoleh empat mata daripada 147 kepada 143, tetapi kedudukan Universiti Teknologi Malaysia jatuh daripada 191 kepada 203.

Sementara itu, Taylor’s University dinamakan universiti swasta nombor satu di Asia Tenggara untuk tiga tahun berturut-turut, menduduki tempat ke-284 keseluruhan daripada tempat ke-332 tahun lalu.

Universiti USCI naik daripada tempat ke-347 kepada tempat ke-284, dan Universiti Teknologi Petronas daripada tempat ke-414 kepada tempat ke-361.

Universiti Nasional Singapura (NUS) dinobatkan universiti terkemuka di Asia, diikuti Universiti Peking China dan Universiti Tsinghua dengan masing-masing berada di tempat ke-11, ke-12 dan ke-14 dalam ranking keseluruhan.

QS World University Rankings 2023 membabitkan penilaian ke atas 1,422 institusi, peningkatan daripada 1,300 institusi tahun lalu.

Related posts

Leave a Comment