Masuk Jepun guna pakej pelancongan

TOKYO 8 Jun – Pengembara luar negara dibenarkan memasuki Jepun dengan mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan mengambil insurans peribadi.

Dalam satu pengumuman semalam, Agensi Pelancongan Jepun (JTA) berkata, para pelancong juga perlu ditemani sepanjang penginapan mereka.

Justeru hanya pelancong dalam pakej pelancongan sahaja akan dibenarkan memasuki negara itu bagi fasa pertama pembukaan semula yang bermula pada 10 Jun ini.

Menurut kenyataan itu yang dikeluarkan semalam, Selasa, agensi pelancongan yang mengiringi pelancong perlu memastikan anggota rombongan sentiasa memakai pelitup muka.

Penggunaan pelitup muka juga diwajibkan di kawasan terbuka terutamanya apabila orang ramai berhimpun dalam jarak dekat.

Sebelum ini, Jepun melaksanakan antara sekatan paling ketat berkenaan pintu sempadan antara negara-negara lain dengan tidak membenarkan kemasukan bukan rakyatnya.

Bagaimanapun, kelonggaran mula diberikan dengan Perdana Menteri Fumio Kishida berikrar akan merancakkan kembali ekonomi rakyatnya melalui pembukaan pintu sempadan.

Related posts

Leave a Comment