Bekalan beras negara mencukupi

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Malaysia mempunyai stok bekalan beras yang mencukupi bagi menampung keperluan beras negara bagi tempoh empat hingga lima bulan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Katanyq, negara mempunyai stok sebanyak 900,000 tan iaitu 250,000 tan stok penimbal dan 650,000 tan bagi stok dagangan.

Susulan itu, Mohamad berkata, masih belum ada keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stok penimbal beras kerana stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan masih mencukupi bagi menampung keperluan domestik.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu 80 peratus menjelang 2030.

Katanya, antara inisiatif itu adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi dengan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar.

Program ini dilaksanakan berdasarkan kepada empat model iaitu model SMART SBB Padi Putih, SMART SBB Padi Wangi, SMART SBB Asnaf dan SMART SBB Mini Sekinchan.

“Program tidak menggunakan sebarang peruntukan tambahan daripada kerajaan, malahan syarikat peneraju yang terbabit akan menanggung kos pelaksanaan operasi sehingga RM3,200 perhektar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport.

“Selain itu, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) turut terbabit dalam perundingan bersama negara sumber beras yang lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja,” katanya.

Menjawab celahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada kerajaan akan membuka kuota import kepada syarikat lain untuk mewujudkan kestabilan memandangkan Bernas dikatakan gagal menjalankan tugas untuk mengimport beras secukupnya, Mohamad berkata, konsesi Bernas dilanjutkan selama 10 tahun lagi oleh Perdana Menteri sebelum ini,  Muhyiddin Yassin.

“Oleh itu, sebarang rombakan perlu melihat kepada perjanjian itu dan kita boleh berbincang dengan Perdana Menteri serta Menteri Ekonomi jika nak buat perubahan berkenaan.

“Ini kerana perjanjian itu selama 10 tahun antara pihak kerajaan dengan Bernas,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, isu Bernas sebagai ‘single gatekeeper’, model penswastaan Bernas adalah bersifat subsidi silang, iaitu keuntungan import akan diguna pakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberikan kerajaan.

Katanya, sehingga kini, KPKM berpandangan Bernas melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

“Ini terbukti apabila bekalan beras negara tidak terputus ketika pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.

“Jadi, KPKM meyakini dasar pengimport utama beras yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah kaedah terbaik dalam menangani cabaran semasa dan mendatang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment