PRU-15 : Tunggu hingga tiada ‘gelombang’

MELAKA 5 Jun – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar ditangguhkan untuk beberapa bulan lagi sehingga fasa peralihan endemik menunjukkan tiada gelombang Covid-19 yang serius, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata gesaan mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat bukan datang daripada rakyat, sebaliknya pihak tertentu.

Katanya, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memastikan keselamatan sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat, beliau berpandangan ia wajar ditangguhkan buat masa ini.

“Saya rasa kita sudah berjaya di Melaka dan Johor. Jika terpaksa diadakan, KKM boleh menjaga kesihatan awam dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Namun kalau kita mahu cermat, betul-betul mahu jaga kesihatan awam, kita boleh tunggu dulu sehingga beberapa bulan ke peralihan ke endemik dan ini tidak mencetuskan gelombang yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) dan Sambutan Hari Denggi Asean dan Gotong-Royong Mega 1.0 ‘Perangi Aedes’ peringkat kebangsaan yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali, di Banda Hilir, hari ini.

Khairy berkata, pelaksanaan PRU-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) berbeza kerana ia membabitkan skala yang besar.

“Pada PRN, banyak benda kita boleh kawal seperti tiada ceramah besar-besaran tetapi lepas ini dengan tiada apa-apa sekatan, mestilah parti politik akan minta adakan ceramah,” katanya.

Khairy turut menasihatkan ahli politik supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

Ia susulan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang dilapor menyebut pandemik sudah berakhir di Malaysia sedangkan negara masih dalam fasa peralihan ke endemik.

“Fakta perlu betul, negara masih dalam fasa peralihan ke endemik manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengumumkan Covid-19 boleh ditamatkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment