150,402 kes di Brunei Darussalam

BERAKAS 5 Jun  – Brunei Darussalam terus merekodkan jumlah kes harian melebihi 300 dengan mencatatkan 344, berbanding 379 yang dilaporkan semalam dan 342 kelmarin.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 338 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala enam kes lagi hasil daripada 296 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 150,402.

Katanya , tiga kes direkodkan dalam Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi manakala tiada kes bagi Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Beliau memberitahu , sebanyak 242 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 148,069 manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,110 iaitu 11 sedang dirawat di hospital, manakala 2,110 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 241 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada 82.3 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,263 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 56.3 peratus menerima dua dos manakala 71.1  peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment