Tahniah sambutan Jubli Platinum

KUALA LUMPUR 5 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain, Ratu Elizabeth II, atas sambutan Jubli Platinum yang bermula Khamis lalu.

Sambutan itu sempena ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Dalam hantaran melalui Facebook Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita kerana Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan baik dan usia panjang, menjadikan baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah Britain.

Seri Paduka turut menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi berkhidmat kepada rakyat Britain serta Komanwel, selain mendoakan baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan semoga hubungan dua hala sedia ada yang rapat serta mesra antara Malaysia dengan Britain, akan terus dipertingkatkan, khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Mengimbas kenangan hubungan mesra antara kedua-dua negara dan pemimpinnya, Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 13 Disember 2019 telah berkenan berangkat membuat kunjungan hormat ke atas Ratu Elizabeth II serta menghadiri majlis santapan tengah hari bersama baginda di Istana Buckingham, London.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu adalah sempena Lawatan Khas tujuh hari Seri Paduka berdua ke England bermula 9 Disember 2019.

Dalam lawatan berkenaan, Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat Westminster Abbey yang merupakan salah satu tempat ibadat tersohor di United Kingdom dan menjadi tempat pemahkotaan serta pengebumian tradisional untuk Raja-raja Inggeris.

Selain itu, pada 10 September 2019, Seri Paduka berdua telah berkenan menerima menghadap Earl of Wessex, Putera Edward, di Istana Negara, sempena lawatan dua hari ke Malaysia bagi menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh’s International Award, dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Sepanjang tempoh pemerintahan Ratu Elizabeth II, baginda telah melawat Malaysia pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua Negara Komanwel Ke-11) dan 1998 (Temasya Sukan Komanwel Ke-16).

Selain Ratu Elizabeth II dan Earl of Wessex, kerabat diraja Britain yang telah mengadakan lawatan ke Malaysia adalah pasangan diraja Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan Catherine pada 2012, serta pasangan diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall, Putera Charles dan Camilla pada 2017.

Pasangan diraja Duke dan Duchess of Cambridge pada 2012 telah mengadakan lawatan dua hari ke Sabah, mewakili Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda.

Pasangan diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall pula mengadakan lawatan tujuh hari ke Malaysia pada 2017, sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dengan United Kingdom.

Related posts

Leave a Comment