Seri Paduka rasmi NDO

KUALA LUMPUR 2 Jun –  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Nicol David Organisation (NDO).

Perasmian NDO yang diasaskan oleh ratu dan legenda skuasy negara Nicol Ann David, itu berlangsung di Bukit Jalil Golf and Country Resort.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 11 pagi disambut Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, Nicol dan bekas pemain skuasy Colombia, Mariana de Reyes, selaku pengasas bersama NDO.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak yang menyertai program utama NDO, ‘Little Legends’.

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berkenan melawat pejabat NDO serta fasiliti lain iaitu bilik kelas serta pusat latihan skuasy.

NDO adalah platform bagi membina masa depan yang positif melalui latihan skuasy dan tutorial Bahasa Inggeris secara bersubsidi untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, berumur antara 8 dan 12 tahun.

Program skuasy menumpukan aspek pembangunan kanak-kanak melalui kelas dan modul yang disediakan di samping berpeluang menyertai pertandingan dan kejohanan peringkat kebangsaan.

Program tutorial Bahasa Inggeris pula dilaksanakan dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sebagai rakan program dan sejajar dengan kurikulum Kementerian Pendidikan untuk sekolah rendah.

Related posts

Leave a Comment