Kes harian meningkat di Brunei Darussalam

BERAKAS 2 Jun  – Brunei Darussalam hari ini merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dengan merekodkan 367 kes berbanding 296 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 149,337.

Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar berkata, sebanyak 366 kes itu adalah hasil Ujian ART manakala satu kes lagi hasil daripada 256 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, dua kes direkodkan dalam Kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Tiada kes dilaporkan bagi Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Beliau memberitahu , sebanyak 220 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 147,284 manakala jumlah kes aktif sebanyak 1,830 iaitu enam sedang dirawat di hospital, manakala 1,824 sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, sebanyak 142 dos pertama vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah keseluruhan 34,897 atau 81.3 peratus.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 860 dos kedua diberikan kepada kanak-kanak pada usia berkenaan menjadikan 21,806 atau 50.8 peratus menerima dua dos manakala 70.8 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga.

Related posts

Leave a Comment