Haji : Ujian percuma di fasiliti KKM

PUTRAJAYA 2 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengecualikan bayaran bagi jemaah haji Malaysia yang melakukan ujian pengesanan Covid-19 Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) di fasiliti kementerian itu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan media bagaimanapun berkata, jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian RT-PCR di fasiliti kesihatan swasta masih perlu menanggung kos ujian tersebut.

Jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Tabung Haji Daerah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan senarai fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan ujian RT-PCR.

Terdahulu, Kerajaan Arab Saudi antara lain telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit bahawa setiap jemaah haji Malaysia perlu disahkan negatif Covid-19 dalam menerusi ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Tanah Suci.

Bagi musim haji tahun ini, sebanyak 14,306 jemaah haji Malaysia bakal menunaikan Rukun Islam kelima itu bermula hari ini menerusi penerbangan yang ditetapkan Tabung Haji.

Related posts

Leave a Comment