SEPANG 24 Ogos – “Bukan kerana nilai sebuah tongkat, dan bukan kerana taksub kepada manusia. Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” demikian penjelasan Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Pendaki Gunung Everest negara, itu menjelaskan tindakannya membida tongkat kayu kemuning milik Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada harga RM16,500 pada Majlis Makan Malam Amal Pas Melaka malam tadi.
“Malam itu (tadi) menjadi antara saat terindah buat saya, dapat berada dekat dengan seorang murabbi serta pada masa sama, dapat menyumbang kepada perjuangan Pas Melaka dan Pas Malaysia.
“Bagaimanapun, yang paling penting, tongkat ini menjadi ingatan keras kepada diri saya sendiri.
Hari ini kita masih kuat, mampu berjalan, mendaki puncak tertinggi, berlari 50 kilometer (km), berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang. Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya.
Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat. Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu,” katanya melalui satu muat naik di Facebook.
Tongkat tertera parap TGHH, bermaksud ‘Tuan Guru Haji Hadi’ mula dibida pada harga RM2,500 itu dilelong khas dengan persetujuan Abdul Hadi bagi membantu jentera Pas menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Lelongan itu diadakan sebagai antara usaha mengumpul sumbangan bagi tabung parti.
Muqharabbin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Lembah Pantai menegaskan tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah tindakannya membida tongkat terbabit.
“Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah SAW,” katanya.
Muqharabbin, berkata nilai RM16,500 itu juga membawa makna peribadi untuknya, yang menyifatkan ia bukan tafsiran agama terhadap angka, namun sekadar simbol untuk mengingatkan diri supaya menjaga Islam, iman dan ihsan hingga akhir hayat.
“Dan ada satu makna peribadi yang saya jadikan ingatan daripada nilai RM16,500:
1 — Ihsan 6 — Iman 5 — Islam 00 — akhirnya dunia kita tinggalkan tanpa membawa apa-apa.
“Sebuah tongkat, sebuah kenangan tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan. Insya Allah, kita jumpa di Muktamar Pas 2026 di Kelantan. Selagi ada usia, selagi ada kudrat, teruskan berjuang,” katanya.
Nnnn
