KDNK Melaka meningkat kepada RM50.3 bilion

MELAKA 24 Ogos – Sepanjang tahun lalu, Melaka mencatatkan RM14.68 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 312 projek yang merupakan pencapaian pelaburan tertinggi negeri itu dalam tempoh 22 tahun.

Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh berkata, nilai pelaburan itu akan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka seterusnya akan meingkatkan kualiti hidup sesebuah keluarga.

Beliau juga memaklumkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka meningkat kepada RM50.3 bilion pada tahun lalu berbanding RM48.8 bilion pada 2024 dengan pertumbuhan sebanyak tiga peratus,

Ab Rauf berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat kebesaran Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Katanya, Melaka tidak mahu mengejar pembangunan hanya untuk kelihatan hebat di atas kertas namun ia harus mempunyai nilai kepada negeri serta makna kepada rakyat.

“Sebab itulah kita memperkukuh sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan berteknologi tinggi, logistik dan ekonomi digital, serta menyediakan bakat tempatan melalui pendidikan teknikal dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Menurut beliau, kerancakan ekonomi turut bergerak seiring dengan pengukuhan kedudukan kewangan negeri apabila kutipan hasil sehingga 31 Julai lalu yang mencecah RM319.8 juta bersamaan 60.46 peratus daripada unjuran tahunan sebanyak RM528.9 juta.

Katanya, dua anak syarikat kerajaan negeri iaitu Melaka ICT holdings Sdn Bhd dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) kini sedang dipersiapkan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia, masing-masing disasarkan seawal suku pertama 2028 dan 2029.

Ab Rauf berkata transformasi digital negeri diperluas apabila capaian internet mudah alih di kawasan berpenduduk mencapai 100 peratus.

Menurut beliau, kekuatan ini terus diperkukuh melalui liputan 5G yang mencapai 89.9 peratus menerusi rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) dan 94.1 peratus menerusi rangkaian U Mobile.

“Sepanjang  tiga tahun saya menerajui pentadbiran ini, sebanyak 63 struktur pemancar baharu dibina, 303 stesen pemancar dinaik taraf dan 77,774 sambungan gentian optik baharu disediakan, menjadikan jumlah keseluruhannya lebih 233,000 sambungan berkapasiti tinggi di premis kediaman dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengetuai seramai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran negeri.

Beliau menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri bersama, Hakim Besar Malaya, Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd Halim Aman.

Selain itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Muhamad Norazlan Aris; Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas,  Sazali Hamzah serta Setiausaha Politik Kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Megat Zulkarnain Omardin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment