SHAH ALAM 24 Ogos – Susulan kejayaan kontinjen Selangor muncul sebagai juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, kerajaan negeri mengumumkan cuti peristiwa khas pada Selasa, 1 September depan.
Menteri Besar, Amirudin Shari yang mengumumkan demikian berkata, ia sebagai tanda penghargaan dan meraikan kejayaan atlet Selangor yang mencatat pencapaian membanggakan dengan meraih 245 pingat.
“Sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan, ibu bapa yang membantu sepanjang temasya ini, saya berbesar hati mengumumkan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas SUKMA 2026 pada 1 September 2026, iaitu pada hari Selasa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan SUKMA Selangor 2026 di Aneka Walk, Sekyen 14, di sini hari ini.
Bagi atlet Selangor, anak-anak kita yang mewakili Pasukan Merah Kuning, selepas 468 acara sukan yang dipertandingkan, anda berjaya memenangi sebanyak 101 pingat emas, 73 pingat perak, dan 71 pingat gangsa,” katanya.
Selangor mendahului kedudukan jumlah pingat dengan pungutan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 245 pingat.
Jumlah itu menyaksikan Selangor jauh meninggalkan Wilayah Persekutuan di kedudukan kedua yang mengumpul 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan kutipan 43 emas, 44 perak serta 36 gangsa.
Amirudin berkata, SUKMA adalah sebagai satu agenda kesukanan dan pembinaan sebuah bangsa yang berkeyakinan, selain membina persabahatan baharu merentasi kaum serta agama.
“Kepada semua yang telah bersama-sama sejak hari pertama, saya mengucapkan terima kasih memberikan kepercayaan kepada Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan para SUKMA Ke-22 bagi temasya tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata, sukan adalah wadah pembinaan negara bangsa yang menguji dan mencabar kemampuan individu, semangat berpasukan serta kesungguhan setiap atlet dalam persaingan.
Katanya, SUKMA adalah pentas untuk melahirkan atlet yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Asia, dan Paralimpik.
“Selaku tuan rumah, Selangor bersyukur atas kerjasama setiap kontinjen yang telah menjadikan negeri ini seperti rumah anda selama dua minggu yang telah berlalu,” katanya.
