Zuraida masih menteri Kabinet

TOKYO 28 Mei – Kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi masih kekal selagi tiada keputusan dibuat dan masih boleh menghadiri mesyuarat Kabinet Rabu ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, setakat ini Zuraida tidak membuat tindakan rasmi untuk berhenti dari Kabinet dan beliau selaku Perdana Menteri juga tidak memecat Ahli Parlimen Ampang itu.

“Keputusan terakhir kepada Perdana Menteri. Jadi oleh kerana masih terlalu awal untuk buat keputusan kerana belum ada perjumpaan, kita bincang dan sebagainya, saya tak komen (lanjut) lah Apa tindakan seterusnya, tunggu saya balik dulu. Saya panggil dia bincang, baru kita buat keputusan,” katanya lagi.

Ismail Sabri berkata demikian kepada wakil media Malaysia dalam sidang akhbar yang diadakan susulan lawatan kerja beliau ke Tokyo, Jepun.

Khamis lalu, Zuraida, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengumumkan hasrat untuk keluar parti dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Katanya, beliau juga membuat keputusan untuk berhenti daripada menjadi Ahli Kabinet namun masih tetap menyokong Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Susulan kenyataan beliau, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata, parti akan menghantar nama baharu kepada Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zuraida.

Perdana Menteri berkata, semua pihak berhak memberi pandangan, namun beliau enggan membuat keputusan selagi belum berjumpa dengan Zuraida sendiri.

“Dia masih ahli Kabinet sehingga Rabu ini, sehingga dia berjumpa saya. Dan walaupun berjumpa dengan saya, saya tak tahu saya akan buat keputusan atau tidak. Tunggu saya putuskan, untuk dia berhenti sebagai menteri, dan saya akan lantik lain, atau kalau saya lantik yang lain.

“Jadi, kita tak tahu lagi apa sebenarnya. Sebelum itu, (semua pihak) teruskanlah seperti biasa.

“Semua orang berhak beri pandangan dan saya hormati setiap pandangan diberi, sebagai landasan saya untuk buat keputusan seterusnya, tetapi setakat ini tiada keputusan lagi,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment