Sukan SEA 2021 Hanoi dirasmi

HANOI: Selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19, akhirnya Temasya Sukan SEA 2021 yang memasuki edisi ke-31 dibuka secara rasmi dalam suasana penuh gemilang dan meriah di Kompleks Sukan Nasional My Dinh, di sini malam ini.

Perasmian temasya dwi tahunan bertemakan ‘For a Stronger Southeast Asia’ itu berlangsung dengan persembahan menarik seperti tarian bunga teratai, diikuti tarian lukisan kayu rakyat Dong Ho yang mencerminkan kesenian masyarakat tempatan.

Kontinjen negara yang diwakili 31 orang dengan diketuai, Nur Azmi Ahmad dan diiringi pembawa Jalur Gemilang yang juga penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri  bergerak memasuki acara perasmian berkenaan.

Upacara itu hanya mengehadkan 31 orang menyertainya bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Semua wakil perbarisan negara tampil segak bergaya dengan Nur Azmi memperagakan busana pendekar baju Melayu manakala Nur Dhabitah yang kekal anggun dengan senyumannya lengkap berbusana busana puteri.

Untuk temasya kali ini, kontinjen Malaysia disertai 859 orang yang merangkumi 584 atlet, 217 pegawai dan 58 sekretariat dengan sasaran diletakkan meraih 36 pingat emas dalam 37 acara disertai.

Berdasarkan prestasi semasa selepas kali terakhir di Filipina 2019, 15 jenis sukan dijangka menjadi penyumbang kepada sasaran 36 emas itu dengan terjun dan olahraga dianggap lubuk utama negara.

Terjun dan olahraga dijangka menjadi penyumbang utama emas dengan setakat ini, kem terjun sudah melepasi sasaran diletakkan iaitu meraih lapan emas ditetapkan.

Sukan terjun yang menutup tirai pertandingan semalam, berjaya meraih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa sekali gus mengekalkan status juara bertahan keseluruhan secara berturut-turut sejak 2005.

Setakat semalam, Malaysia meraih sembilan emas, tiga perak dan enam gangsa untuk berada di tangga kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, 10 emas, tujuh perak dan 10 gangsa manakala Indonesia di tempat ketiga, tiga emas dan empat perak.

Malaysia setakat ini turut meraih satu emas daripada sukan silat menerusi acara ganda putera yang disumbangkan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.

Related posts

Leave a Comment