BN tidak gadai prinsip perjuangan

SEPANG 26 Julai – Barisan Nasional (BN) tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan atau menerima naratif politik mana-mana pihak walaupun menjalinkan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agungnya, Dr Zambry Abd Kadir, menegaskan persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam pilihan raya ini tidak sekali-kali bermaksud BN akan menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

“BN akan terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan formula kenegaraan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara. Inilah asas yang telah menyatukan negara sejak merdeka dan mesti terus dipertahankan,” katanya.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, BN ialah gabungan politik pelbagai kaum yang sudah lebih enam dekad membuktikan negara mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan.

“Rekod inilah yang menjadi kekuatan BN dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kemajuan negara,” katanya.

Sehubungan itu, BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Katanya, selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu.

“Pada masa yang sama, BN juga menolak politik ketakutan yang terus dimainkan oleh pihak tertentu dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memerintah.

Politik ketakutan adalah berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian,” tegasnya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment