PORT DICKSON 26 Julai – Tidak berbangkit soal Barisan Nasional (BN) meniru atau ‘copy-paste’ manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan inti pati manifesto yang dibentangkan BN bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya adalah hasil usaha berterusan parti itu sejak sekian lama.
“Tidak timbul soal ‘copy-paste’ kerana dari 2004 hingga 2018, manifesto itu kami garapkan. Apa dilakukan sekarang ialah menambah baik daripada apa yang sudah sedia ada,” katanya.
Ahmad Zahid sekali gus memberi peringatan supaya pihak lawan tidak sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan semata-mata untuk meraih persepsi politik.
“Kita tidak melihat apa yang mereka lakukan di Johor sebelum ini sebagai ‘copy-paste’, jadi janganlah pula kami dituduh melakukan perkara sama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, fokus utama BN ketika ini ialah meneruskan agenda pembangunan yang tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Kita mempunyai tujuan sama, iaitu melakukan kesinambungan terhadap agenda yang tergendala apabila BN tidak mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan pada 2018.
“Maka, Datuk Seri Mohamad Hasan tentunya berhak sebagai Pengerusi BN Negeri Sembilan, untuk meneruskan kesinambungan agenda ini. Saya yakin beliau akan melakukannya dengan lebih baik bersama kepimpinan dan parti komponen BN di Negeri Sembilan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dilaporkan mendakwa manifesto BN yang dilancarkan kelmarin, banyak meniru manifesto serta inisiatif yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan PH.
Aminuddin, berkata pelaksanaan manifesto PH sepanjang pentadbirannya telah membuktikan janji yang pernah dipersoalkan sebelum ini direalisasikan, malah kini menjadi rujukan manifesto BN.
“Dulu masa kita melancarkan manifesto, mereka kata manifesto saya tidak boleh ditunaikan. Hari ini, sah dan terbukti manifesto saya yang saya laksanakan, ‘copy-paste’ semula oleh BN,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Linggi, di sini, malam tadi.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu turut mempertikaikan sasaran pelaburan RM30 bilion yang dijanjikan BN sepanjang tempoh lima tahun akan datang, kerana disifatkan jauh lebih rendah berbanding pencapaian semasa negeri ini.
Katanya, pelaburan di negeri ini pada tahun lalu saja RM19.1 bilion dan separuh pertama tahun ini telah capai hampir RM13 bilion.
Mengulas dakwaan mengenai projek tergendala pula, Aminuddin mengakui ada projek menghadapi masalah, namun menegaskan perkara sama turut berlaku ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Saya katakan memang ada projek yang tergendala, mungkin mereka akan sebut hospital di Rembau. Namun kita ingat, dalam masa pemerintahan sebelum ini pun banyak projek tergendala yang tidak selesai.
“Kita tengok ada bangunan yang tergendala di bandar Seremban. Itu pada zaman siapa? Bukan zaman saya,” katanya.
Nnn
