KUALA LUMPUR 26 Julai – Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay, yang bersara hari ini berharap kerajaan memperbetulkan semula struktur gred perjawatan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu berkata, pada masa ini, jawatan Ketua Polis Negara, yang disandang oleh Mohd Khalid Ismail, adalah Gred Turus 2, manakala jawatan Timbalan Ketua Polis Negara, gred JUSA A.
Ayob Khan berkata, Gred JUSA A turut disandang oleh Pengarah Cawangan Khas dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Saya bercakap mengenai isu ini bukan kerana hari ini hari terakhir saya melaksanakan tugas sebaliknya saya dah bercakap perkara ini sebelum ini lagi termasuk ketika dalam majlis terbuka anjuran Kerajaan MADANI di Kuantan.
Selepas Ketua Polis Negara dilantik dengan Gred Turus 2, kerajaan sewajarnya memberikan Gred Turus 3 kepada Timbalan Ketua Polis Negara, manakala semua Pengarah Jabatan dalam PDRM diberikan Gred JUSA A.
“Selain itu, saya turut mencadangkan semua Ketua Polis Negeri (KP) diberikan jawatan Gred Jusa B,” katanya pada sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.
Beliau berkata, persamaan gred Timbalan KPN dengan Pengarah Cawangan Khas dan Pengarah KDNKA menyukarkan sedikit arahan pengaturan tugas yang dilaksanakan disebabkan ianya dari pegawai gred yang sama.
Katanya, harapan untuk kerajaan memperbetulkan struktur gred dalam PDRM ini bukanlah semata-mata untuk dirinya, disebabkan beliau sudah mengakhiri perkhidmatan, sebaliknya adalah untuk kepimpinan tertinggi pada masa akan datang.
“Setiap hari semakin ada pertambahan penduduk dan beban tugas oleh setiap pegawai dan anggota PDRM semakin bertambah dari masa ke masa. Justeru, adalah wajar untuk kerajaan meneliti dan memperbetulkan gred jawatan KPN, Timbalan KPN dan Pengarah dalam pasukan,” katanya.
Sementara itu, susulan persaraan Ayub Khan, jawatan yang disandangnya akan dipangku oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Ibrahim Darus.
Majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara itu diadakan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini dengan disaksikan Mohd Khalid.
Turut diadakan adalah majlis serah terima tugas Naib Pengerusi PERKEP Malaysia antara Zaleha Mohd Ariffin dan Pengerusi PERKEP Cawangan Khas, Zanilatun Kamariah Zakaria selaku pemangku.
Ayob Khan sebelum ini mengumumkan akan bersara hari ini selepas tiga setengah dekad berbakti kepada pasukan keselamatan itu.
Ayob pernah menyandang beberapa jawatan penting, termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.
Mengulas perancangannya selepas bersara, Ayob Khan berkata, beliau mungkin membuka restoran sehingga orang ramai berpeluang melihatnya dalam suasana yang berbeza.
“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini, keutamaannya adalah berehat terlebih dahulu selepas menamatkan perkhidmatan dalam PDRM.
“Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi belum memikirkannya lagi. Insya-Allah, saya mahu berehat dahulu,” katanya.
Nnnn
(Foto FB PDRM)
