Tiada bukti gelombang baharu

SINGAPURA 12 Mei – Tiada bukti menunjukkan terdapat gelombang baharu di Singapura walaupun jumlah kes jangkitan Covid-19 meningkat kebelakangan ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini.

Beliau mengakui jumlah kes dalam masyarakat sedang meningkat, tetapi tidak berganda sejak beberapa hari dan menyifatkannya  sebagai “kenaikan kecil”.

“Kenaikan itu juga sudah dijangkakan, memandangkan kita sudah melonggarkan hampir sepenuhnya sekatan ke atas kegiatan-kegiatan sosial sejak 26 April,” katanya melalui hantaran Facebooknya.

Menurut beliau lagi, kebanyakan kes juga hanya menunjukkan gejala ringan dan pulih “tanpa sebarang masalah” di rumah manakala hospital-hospital dan unit jagaan rapi juga tidak menyaksikan kenaikan tinggi kes.

“Dengan daya tahan yang kukuh terhadap virus itu menerusi vaksinasi dan pemulihan daripada jangkitan lalu, kita boleh melihat menerusi kenaikan kecil dalam jumlah kes ini, tanpa sebarang perubahan kepada langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada,” kata beliau.

Bagaimanapun Ong berkata, Singapura akan terus memantau keadaan dengan rapi, memandangkan keadaan boleh berubah sekelip mata, lebih-lebih lagi jika jujukan baru muncul.

“Walaupun kita menikmati tempoh lega sekarang ini, kita tidak harus leka dan sebaliknya terus memastikan tanggungjawab peribadi dan sosial dijaga setiap masa,” kata beliau.

Pada 5 Mei lalu, Singapura merekodkan 4,733 kes diikuti pada 10 Mei mencatatkan 4,831 kes dan semalam 3,890 kes.

Related posts

Leave a Comment