SEPANG 26 Julai – Walaupun hanya bertanding satu kerusi, Berjasa turut melancarkan ‘manifesto’ dengan menggariskan lima tekad untuk ditawarkan kepada pengundi Nilai dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan kali ini.
Pelancaran dokumen. ‘Tekad & Tawaran Zamani Ibrahim: Demi Rakyat DUN N.10 Nilai” itu disempurnakan oleh calon tunggal Berjasa, Zamani Ibrahim yang juga Presiden Berjasa di Nilai malam tadi.
Dalam kenyataan medianya, Pengarah pilihan raya Berjasa, Mohd Fauzi Mohd Bashir berkata lima teras manifesto itu memfokuskan kepada bidang pendidikan, perumahan, pengangkutan, kesihatan dan perindustrian.
“Ustaz Zamani Ibrahim memahami realiti Nilai yang menikmati pembangunan besar namun berdepan masalah ketirisan nilai yang terbukti melalui tahap gaji dan ekonomi setempat, di mana pekerjaan sedia ada tidak cukup untuk menyara keluarga.
“Ustaz Zamani memahami realiti pembangunan fasiliti di Nilai yang dilihat terpinggir daripada hak kemajuan sebenar serta tidak sepadan dengan kepadatan penduduknya. Ini terbukti melalui kegagalan perancangan bandar dan penyediaan fasiliti mengikut kadar pembangunan yang ada,” katanya.
Mohd Fauzi berkata fokus Ustaz Zamani juga tertumpu kepada bidang pendidikan dengan melihat realiti murid semasa yang bergelut dengan isu kepadatan bilik darjah serta, tidak dilupakan agenda Melayu-Islam apabila Ustaz Zamani komited untuk menampilkan lebih ramai pimpinan Melayu Islam di kawasan Nilai.
“Ustaz Zamani merasakan keperluan untuk bersatu dengan agenda Melayu-Islam yang kukuh terutamanya dengan meletakkan lebih ramai wakil Melayu Islam yang berwibawa dan berkualiti dan benar-benar berjuang untuk rakyat,” katanya.
Katanya, Presiden Berjasa calon yang bertanding atas tiket nombor satu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai itu komited sebagai pendengar isi hati dan pembawa suara baharu rakyat Nilai.
Dalam bidang pendidikan, antara tekad dan tawaran Ustaz Zamani dalam PRN kali ini ialah bandar pendidikan bertaraf dunia dengan memperkenalkan projek Lembah Edu-Tech sebagai hab akademik antarabangsa.
Mengenai perumahan, beliau berhasrat menyediakan lebih banyak skim perumahan mampu milik menerusi Koridor Pembangunan Perumahan Nilai-Seremban serta memastikan kampung-kampung lama dan keharmonian taman perumahan sedia ada dipelihara daripada pembangunan yang tidak dirancang.
Berkaitan pengangkutan, keutamaan kepada penyelesaian kesesakan di Jalan Pajam-Nilai-Salak sebagai keutamaan, menyediakan kemudahan perhentian bas, teksi serta menambah baik perkhidmatan KTM Nilai
Ustaz Zamani juga bertekad untuk membina sebuah hospital kerajaan di Nilai yang bakal menjadi keutamaan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.
Manakala dalam perindustrian, Ustaz Zamani mahu memastikan peluang perniagaan dan pekerjaan tidak dimonopoli pihak luar atau pekerja asing.
Nnnn
