BERAKAS 9 April – Sebanyak 3,823 atau 8.9 peratus daripada populasi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah diberi vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Dr. Md. Isham Jaafar
Katanya, sebanyak 156 lagi kanak-kanak mendapatkan dos vaksin itu semalam manakala penduduk negara yang menerima tiga dos vaksin adalah pada kadar 62.1 peratus.
Sebanyak 314 kes baharu direkodkan hari ini, iaitu 298 kes hasil Ujian ART dan 16 kes adalah hasil daripada 483 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam masa 24 jam lalu.
Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah sebanyak 138,261.
Terdapat dua kes yang dikategorikan dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) manakala dua berada di Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.
Sementara itu, sebanyak 526 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan sembuh adalah 135,735 kes.
Sementara, jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 2,311 kes, iaitu 54 kes sedang dirawat di hospital, manakala 2,257 kes yang sedang menjalani pengasingan diri di rumah.
