Jakim tidak boleh keluar kenyataan

SHAH ALAM 9 April – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan sudah dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), termasuk mengenai isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al- Haqqani.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang, hari ini bertitah, perkara itu adalah bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, MKI dan Majlis Raja-Raja.

Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

“Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya juga bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah.

“Justeru, mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda.

Baginda bertitah, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, titah baginda, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri.

“Berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al- Haqqani, keputusan muzakarah sudah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari tahun lalu.

“Butiran penuh kepada keputusan muzakarah ini boleh dirujuk menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April lalu,” titah baginda.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Wan Zahidi Wan Teh, dalam satu kenyataan, semalam, berkata Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar untuk diamalkan pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat.

Wan Zahidi dilaporkan berkata, status terkini mengenai tarekat itu dibincang dan diputuskan MKI dalam mesyuarat ke-117 pada 2020, justeru keputusan terdahulu pada 2000 berkaitannya tidak lagi terpakai.

“Bagaimanapun, dalam melaksanakan keputusan ini, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama setiap negeri,” katanya.

Wan Zahidi berkata, kenyataan itu dikeluarkan selepas terdapat kekeliruan pihak media dalam melaporkan kenyataan berkaitan tarekat berkenaan, yang dikeluarkan Jakim pada 2 April lalu, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, termasuk di media sosial.

Pada 2 April lalu, Jakim memaklumkan, MKI dalam mesyuarat ke-117 tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 2000, sebaliknya hanya membenarkan pengikut tarekat itu mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah.

Pada 2000, MKI memutuskan tarekat berkenaan disahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

KETERANGAN GAMBAR

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Wan Zahidi Wan Teh dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam, Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Perak Dr Afifi al-Akiti di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Turut menghadap, Mufti Selangor Sahibus Samahah Dr. Haji Anhar Opir.

Related posts

Leave a Comment