Kes harian tertinggi Malaysia

PUTRAJAYA 5 Mac – Malaysia merekodkan kes harian tertinggi Covid-19 iaitu sebanyak 33,209 kes semalam berbanding 32,768 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 3,561,766 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah yang dikesan semalam itu membabitkan 32,768 kes penularan tempatan dengan 441 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Beliau berkata kategori paling tinggi yang dicatatkan adalah pesakit kategori dua iaitu sebanyak 20,071 kes atau 60.44 peratus diikuti kategori satu 12,935 kes (38.95 peratus), kategori tiga (98 kes), kategori lima (53 kes) dan kategori empat (52 kes).

Bagi keseluruhan kes dalam kategori tiga hingga lima, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 58.62 peratus atau 119 kes membabitkan pesaki berusia 60 tahun dan keatas.

Sebanyak 57.64 peratus atau 117 kes pula membabitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 namun belum mendapatkan dos penggalak, masing-masing 43 kes atau 21.18 peratus dalam kalangan mereka yang belum divaksinasi atau belum lengkap vaksin serta sudah menerima dos penggalak.

Ia diikuti 67 kes atau 33 peratus dalam kalangan yang mempunyai komorbid serta satu kes (0.49 peratus) membabitkan ibu mengandung.

Sementara itu, secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, sebanyak 348 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 138 kes disahkan Covid-19 dengan 210 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes yang dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sejumlah 211 kes iaitu 80 kes disahkan Covid-19 dengan 131 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengulas mengenai kluster baharu yang dikesan semalam, Dr Noor Hisham berkata terdapat 17 kluster baharu penularan Covid-19 yang direkodkan.

Perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat 476 kluster yang masih aktif di negara ini.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 26,352 kes pulih dilaporkan semalam, ia menjadikan sehingga kini sebanyak 3,223,650 kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment