Umrah selepas hubungan Thai-Saudi pulih

JEDDAH: Kumpulan pertama jemaah umrah dari Thailand tiba di Arab Saudi kelmarin  selepas kedua-dua negara memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya awal tahun ini.

Ketibaan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA) di Jeddah disambut pegawai Kementerian Haji dan Umrah, Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam dan KAIA.

Awal minggu ini, Saudi Airlines melancarkan semula penerbangan antara lapangan terbang Saudi dan Thailand, kurang dua bulan selepas hubungan diplomatik penuh dipulihkan sepenuhnya selepas kira-kira 32 tahun.

Antara kelebihan pemulihan hubungan diplomatik sepenuhnya antara Arab Saudi dan Thailand ialah kembalinya penerbangan terus yang membolehkan jemaah terbang ke negara ini dan memudahkan prosedur ketibaan mereka.

Pada Januari, Arab Saudi dan Thailand bersetuju untuk memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik dan bertukar duta.

Langkah itu dipersetujui ketika lawatan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha ke Riyadh yang mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Arab Saudi menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Thailand berikutan kes kecurian barangan kemas bernilai kira-kira AS$20 juta, termasuk berlian biru 50 karat yang sangat bernilai pada 1989 oleh pekerja pembersihan Thailand yang bekerja di istana seorang putera Saudi.

Kes kecurian yang digelar “The Blue Diamond Affair”, menyaksikan polis Thailand memperoleh semula dan memulangkan beberapa permata yang dicuri tetapi pegawai Arab Saudi mendakwa kebanyakannya adalah palsu, manakala nasib berlian biru itu masih menjadi misteri.

 

 

Related posts

Leave a Comment