Kes import ke-196 Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN 31 Julai – Satu lagi kes import, yang ke-196 dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di  Brunei Darussalam meningkat kepada 337 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes 337, itu melibatkan seorang wanita, berumur 17 tahun, yang tiba dari Manila pada 18 Julai 2021.

Beliau tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan dan penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tiga kontak terdekat bagi kes ini.

Sementara itu, satu kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan, manakala yang selebihnya dalam keadaan yang baik.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan, setakat ini,  mencatatkan 451 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Sebanyak 54 kes aktif menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dua kes pula dilaporkan sembuh, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini seramai 280 orang.

Setakat ini juga,  seramai 623 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara 22,785 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan status vaksinasi Covid-19, di mana 543 orang menerima suntikan vaksin pada 30 Julai 2021, manakala seramai 132,793 (29.3 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Seramai 27,704, iaitu kira-kira 6.1 peratus pula telah menerima dua dos suntikan vaksin, manakala 22,707 warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Related posts

Leave a Comment