Iran , India, Pakistan adakan perbincangan

HYDERABAD – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Perdana Menteri Pakistan dan India di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-26 di Bishkek, Kyrgyzstan.

Pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Narendra Modi dari India itu diadakan ketika konflik Asia Barat semakin memuncak serta usaha diplomatik untuk memulihkan keamanan rantau itu menjadi agenda utama.

Pakistan, sebagai perantara dalam konflik AS-Iran, mengesahkan komitmennya terhadap keamanan rantau berkenaan, manakala India mengulangi gesaannya supaya dialog dan diplomasi digunakan bagi menyelesaikan krisis itu.

Menurut kenyataan Kerajaan Pakistan susulan pertemuan Pezeshkian-Shehbaz, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai situasi serantau yang sedang berkembang,”

Pakistan mengulangi ikrar bahawa ia akan meneruskan usaha bagi menzahirkan keamanan serantau, sambil mengimbas lawatan Panglima Angkatan Pertahanan Field Marshal Syed Asim Munir ke Tehran pada 24 Ogos serta pembabitan beliau dengan kepimpinan Iran yang dilihat ‘memberi petanda positif’.

Shehbaz menekankan kepentingan menahan diri dan pembabitan diplomatik berterusan serta menggariskan terma dipersetujui di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad yang dimeterai Iran dan AS pada Jun sebagai satu-satunya jalan paling munasabah ke arah keamanan berkekalan di rantau ini.

Sementara itu, pertemuan Pezeshkian dengan Modi adalah yang pertama sejak perang tercetus.

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala dan perkembangan terkini konflik di Asia Barat serta berkongsi pandangan mengenai situasi semasa.

Related posts

Leave a Comment