WASHINGTON – Pembinaan ballroom (dewan acara) baharu di White House bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion), yang sebelum ini menimbulkan kontroversi boleh diteruskan setelah memperoleh kebenaran Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS).
Mahkamah dalam keputusan 5-4 membenarkan permohonan pentadbiran Donald Trump untuk menyekat perintah mahkamah rendah yang mengarahkan kerja-kerja pembinaan bahagian atas tanah dihentikan sementara menunggu penyelesaian saman yang difailkan sebuah kumpulan pemeliharaan warisan.
Trump sebelum ini merobohkan East Wing yang bersejarah di White House tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan dewan acara tersebut, yang kerap disifatkannya sebagai “hadiah” kepada rakyat Amerika.
Sebelum itu, Ketua Hakim Negara, John Roberts, mengeluarkan perintah sementara yang membolehkan kerja pembinaan diteruskan.
Bagaimanapun, Roberts akhirnya menyertai tiga hakim liberal mahkamah itu dalam menyuarakan bantahan terhadap keputusan majoriti dan menyifatkan projek pembinaan berkenaan sebagai “berkemungkinan menyalahi undang-undang.”
Keputusan tersebut dilihat berpotensi merealisasikan cita-cita Trump untuk mengubah wajah ibu negara AS mengikut visinya sendiri.
Walaupun beberapa projek itu berdepan halangan undang-undang, termasuk arahan mahkamah supaya nama Trump ditanggalkan daripada Kennedy Center, keputusan Mahkamah Agung kali ini dianggap satu kemenangan besar buat Presiden berkenaan.
Trump meraikan keputusan tersebut menerusi hantaran di platform Truth Social dengan mendakwa kompleks White House yang baharu akan menjadi “antara yang terhebat pernah dibina di Washington DC.”
Pembinaan itu dijangka siap menjelang musim panas 2028.
