20,000 : Kementerian tidak panik

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Kementerian Kesihatan tidak panik dengan peningkatan jangkitan harian Covid-19 yang melebihi 20,000 kes pada hari  ini kerana melihat kepada tahap keseriusan jangkitan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Merujuk kali terakhir kes jangkitan melebihi 20,000 iaitu pada 11 Ogos 2021, sebanyak 1,547 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dengan 332 kematian berbanding hari ini hanya 158 di ICU dan 10 kematian.

Beliau berkata, Kementerian menjangka ada peningkatan kemasukan ke hospital, sekali gus terus memantau serta memberikan butiran perkembangan kes setiap hari.

“Jangan tengok bilangan kes, kena tengok keseriusan sehingga kita minta laksanakan sekatan pergerakan (sebelum ini). Kes sekarang 99 peratus bergejala ringan dan kategori satu, hanya 0.5 peratus kategori empat dan lima dan mereka sudah mendapatkan rawatan. Ini dapat diatasi dengan baik,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan mengambil langkah berhati-hati dan cermat sebelum mengisytiharkan negara beralih ke fasa endemik seperti dilaksanakan beberapa negara.

Katanya, Malaysia memantau perkembangan negara seperti Sweden dan Denmark yang sudah mengisytiharkan peralihan fasa dan Covid-19 bukan lagi ancaman kesihatan.

“Secara peribadi, saya berpendapat tindakan Denmark itu terlalu awal sedang ketika ini kes Omicron masih menular. Saya dan Tan Sri Ketua Pengarah (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) konservatif dalam hal ini, ada kata kami sangat konservatif, (namun) bagi kami, lebih baik bertindak berhati-hati berbanding menyesal di kemudian hari.

“Kita kena tengok gelombang Omicron di hospital kita yang mana ketika ini 99 peratus ada gejala ringan, tapi kita teruskan pendekatan tak perlu ikut Sweden atau Denmark,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Berskala Besar Pembedahan Urologi (MUSI) di Hospital Selayang, dekat sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan agresif Kementerian menggalakkan orang ramai mengambil vaksin dos penggalak yang dilihat seperti memaksa, katanya Kementerian tidak memaksa sebaliknya merayu orang ramai mengambil vaksin.

“Memandangkan adanya varian baharu seperti Omicron maka kita kena sediakan ‘perisai’ tambahan, ” katanya.

Ditanya kebimbangan mengenai dos penggalak, pihaknya mengakui memang ada kesan sampingan tetapi terlalu rendah peratusannya.

“Kita keluarkan maklumat ini dan tidak berselindung mengenainya,” katanya.

Mengenai kebimbangan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekolah boleh menyebabkan jangkitan Covid-19, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat akan dilaksanakan dan ibu bapa tidak perlu bimbang perkara itu.

Related posts

Leave a Comment