Johor Bangkit: Maju, Bermaruah

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memutuskan akan menggerakkan kempen bertemakan ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’.

Ini merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.

Majlis Presiden juga akan mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” kata MPPH dalam satu kenyataan.

MPPH juga memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.

“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.

“Sekiranya enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan. Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

PH juga memberi amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.

Majlis Presiden turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.

RUU Anti-Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat PH dan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan dan PH.

”Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022. Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut, “ kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment