Pandemik berakhir di Sweden?

STOCKHOLM 10 Feb. – Sweden pada Rabu membatalkan hampir semua sekatan dan menghentikan ujian saringan Covid-19 percuma berikutan ‘mengisytiharkan’ pandemik itu sudah berakhir.

“Seperti kita ketahui, pandemik ini saya katakan ia sudah berakhir,” kata Menteri Kesihatan Lena Hallengren selain menambah Covid-19 tidak akan lagi diklasifikasikan sebagai bahaya kepada masyarakat.

Sweden sebelum ini tidak melakukan perintah berkurung sebaliknya menggunakan pendekatan sukarela sepanjang pandemik, namun mengumumkan akan membatalkan sekatan yang masih berkuat kuasa dengan mengisytiharkan Covid-19 berakhir, kerana vaksinasi dan varian Omicron mengurangkan kes dan kematian.

Sejak semalam, bar dan restoran dibenarkan beroperasi selepas pukul 11 malam tanpa had bilangan tetamu. Had kehadiran bagi tempat tertutup lebih besar juga ditarik balik serta penggunaan pas vaksin.

Walaupun hospital di Sweden masih mengalami tekanan dengan kira-kira 2,200 kes Covid-19 memerlukan penjagaan hospital, hampir sama semasa gelombang ketiga pada musim bunga 2021.

Memandangkan ujian saringan Covid-19 percuma dikurangkan sejak awal bulan ini dan dihentikan mulai semalam, tiada siapa mengetahui bilangan kes yang tepat.

Semalam Sweden mencatatkan 114 kes kematian Covid-19 baharu, menjadikan keseluruhannya 16,182 kes.

Related posts

Leave a Comment