Johor kurangkan jarak makmum

JOHOR BAHRU 5 Jan. – Johor membenarkan jarak antara makmum dalam solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di negeri ini dikurangkan daripada satu meter kepada setengah meter bermula Jumaat ini.

Menurut satu kenyataan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah memperkenankan pelaksanaan itu mulai 7 Januari iaitu pada Jumaat ini hingga suatu tarikh yang akan diumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi, Pengarah Jabatan Agama Islam Johor Md Rofiki Samsudin dan Mufti Negeri Yahya Ahmad hari ini.

Selain itu, solat hajat juga hendaklah dilaksanakan selepas solat Maghrib setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid dan surau negeri ini.

“Program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama daripada satu jam pula ditambah kepada tempoh tidak melebihi daripada dua jam,” kata kenyataan itu.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan surau akan bertanggungjawab untuk sentiasa memastikan kesemua jemaah mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Related posts

Leave a Comment