Lonjakan kes di Indonesia

JAKARTA 3 Feb. – Lonjakan kes Covid-19 dilaporkan di Indonesia hari ini apabila 27,197 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam berbanding 17,895 kes yang direkodkan semalam.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 4,414,483 orang sejak kes pertama dilaporkan pada 2 Mac 2020.

Pertambahan kes berlaku di 34 wilayah termasuk Jakarta merekodkan 10,177 kes diikuti Jawa Barat 7,308, Banten 4,312, Bali 1,501, Jawa Timur 1,394, Jawa Tengah 610, DI Yogyakarta 219, Sumatera Utara 198, Papua 181 dan Kalimantan Selatan 150.

Sebanyak 38 lagi individu dilaporkan meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan 144,411 kematian.

Sementara itu, sebanyak 5,993 orang pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 4,154,797 orang.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo berkata, pemerintah sudah menjangka lonjakan kes itu.

“Lonjakan ini sudah diperkirakan dan diantisipasi oleh pemerintah dengan kesiapan kita yang sudah lebih baik dibanding tahun lalu,” katanya.

Beliau meminta rakyat bertenang ketika pemerintah lebih bersiap sedia menghadapi lonjakan itu berbanding tahun lalu termasuk penyediaan ubat-ubatan, ruang isolasi,  oksigen, serta tenaga kesihatan.

Related posts

Leave a Comment