Taman tema diarah tutup pada hari ke-14

KEPALA BATAS 28 Dis. –  Selepas dua minggu dibuka bermula 15 Disember lalu, Taman Tema Air Bertam Resort & Water Park di sini, diarah tutup buat sementara waktu mulai hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Arahan penutupan itu dibuat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas mendapati premis berkenaan dipercayai beroperasi tanpa lesen hiburan bagi aktiviti taman tema air.

“Pihak MBSP ingin memaklumkan bahawa premis ini masih dalam proses untuk mendapatkan lesen yang sah serta permohonan untuk mendapatkan sijil CCC dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih dalam peringkat kelulusan,” kata kenyataan MBSP.

Justeru, pihak pengusaha premis ini dinasihatkan untuk tidak menjalankan aktiviti taman tema air ini sehingga kedua-kedua proses di atas telah diluluskan.

MBSP dalam kenyataannya juga memaklumkan pihaknya sudah beberapa kali membuat pemeriksaan bermula pada 16 Disember dengan kali terakhir pada 27 Disember lepas .

Pihak MBSP mendapati taman tema berkenaan  beroperasi tanpa lesen dan telah mengeluarkan notis supaya pihak pengurusan  menghentikan aktiviti hiburan taman tema air di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998 .

“Namun pihak pengurusan didapati masih gagal mematuhi arahan tersebut  menyebabkan satu tindakan penutupan  dibuat kira kira jam 9.40 pagi hari ini,” kata kenyataan tersebut

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 58 saat pengunjung berkumpul di hadapan pintu masuk taman tema berkenaan.

Turut kelihatan beberapa penguat kuasa MBSP sedang menampal notis penutupan di premis berkenaan.

Taman tema yang bernilai RM90 juta itu mula dibuka kepada orang ramai pada 15 Disember lalu selepas tertangguh sejak sekian lama akibat beberapa masalah termasuk pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment