Thailand tambah 7,139 kes baharu

BANGKOK 24 Jan. – Thailand merekodkan 7,139 kes baharu Covid-19 dengan 13 kematian menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 2,384,639 kes manakala 22,045 orang meninggal dunia.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 6,924 melibatkan penduduk awam, 20 penghuni penjara dan 195 kes import.

Bangkok mendahului dengan 1,130 kes diikuti 549 di Samut Prakan, Phuket 369, Nonthaburi 368, Chon Buri 316, Pathum Thani 266, Khon Kaen 249, Nakhon Ratchasima 180, Lop Buri 155 dan Samut Sakhon 138.

Kes import pula melibatkan ketibaan dari beberapa negara termasuk 36 dari Rusia , Mongolia dan Jerman masing-masing 16, Ukraine 11 dan Kemboja 10.

Setakat Ahad, 82,485 orang mendapatkan rawatan di hospital termasuk 550 yang dalam keadaan kritikal dan 114 bergantung kepada ventilator.

Sebanyak 8,100 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 2,280,109 orang.

Sementara itu, Thailand mempercepat pelaksanaan program suntikan dos keempat vaksin Covid-19 menjelang pembukaan semula negara itu mulai 1 Februari depan.

Matlamatnya untuk memberi suntikan dos keempat kepada 2.5 juta penduduk di 10 wilayah terutama yang menjadi tumpuan para pelancong termasuk Bangkok.

Kemasukan pelancong asing ke Thailand dijangka bertambah dengan banyak apabila skim “Test & Go” disambung semula mulai bulan depan setelah digantung sejak bulan lalu.

Related posts

Leave a Comment