Singapura catat 3,002 kes baharu

SINGAPURA 24 Jan. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 3,002 kes baharu Covid-19 termasuk 378 kes import di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan meningkat kepada 316,774 kes.

Tiada kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia kekal 848 orang.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,624 adalah kes dalam masyarakat sementara bakinya kes import.

Menurut MoH, jumlah kes baharu Protokol 2 adalah 1,637 iaitu  tujuh kes import dan 1,630 jangkitan tempatan.

Kes Protokol 2 merujuk kepada pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Sebanyak 1,365 kes disahkan menerusi ujian PCR terdiri daripada 994 jangkitan tempatan manakala 371 adalah kes import.

Sementara itu, seramai 478 pesakit masih dirawat di hospital, naik berbanding 433 semalam di mana 32 kes memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 11 dipantau rapi di ICU manakala 3,034 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat 23 Januari, sebanyak 91 peratus penduduk Singapura yang layak sudah melengkapkan rejimen vaksinasi mereka di bawah program vaksinasi nasional. Angka itu termasuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun selepas kumpulan itu mula divaksin pada 27 Disember lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 88 peratus sudah lengkap vaksinasi dua dos, dan 91 peratus menerima satu dos, manakala 55 peratus mendapat dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment