Solat Jumaat di Selangor ikut kapasiti

SHAH ALAM 18 Jan. – Mulai 21 Januari ini, semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran Solat Jumaat di negeri ini boleh menggunakan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah bagi menunaikan solat Jumaat.

Kebenaran itu telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan jarak antara satu jemaah dengan jemaah yang lain ditetapkan pada jarak 1.0 meter.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata ketetapan baharu itu akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus, tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau.

Sebelum ini, jumlah atau bilangan jemaah Solat Fardu Jumaat dihadkan dalam jumlah tertentu mengikut kategori masjid.

Sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini dan pihak pentadbir masjid dan surau masih perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Mohd Shahzihan berkata JAIS berharap agar ketetapan baharu ini, akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi menunaikan kefarduan mengerjakan solat Jumaat.

Related posts

Leave a Comment