RoS tolak pendaftaran Pejuang

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan  Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk mendaftar parti itu sebagai sebuah parti politik.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Pejuang berkata pihak RoS telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung Penaja Pejuang Amiruddin Hamzah mengenai penolakan permohonan itu pada pukul 5.50 petang semalam, atas alasan pendaftarannya dibuat secara tidak teratur.

“Kita menunggu arahan anak guam untuk tindakan seterusnya kerana dalam proses ini arahan yang ada mungkin untuk merayu kepada Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya.

Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Pejuang bagi mencabar tindakan RoS yang masih belum meluluskan pendaftaran parti itu.

Mior Nor Haidir berkata berikutan keputusan RoS itu,  Pejuang menarik balik permohonan kebenaran semakan kehakiman itu atas alasan ia menjadi akademik.

Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir bersama lima lagi individu pada Ogos 2020.

Related posts

Leave a Comment