30 peratus kematian sudah divaksin

SINGAPURA 10 Jan. – Individu yang sudah lengkap divaksin membentuk 30 peratus atau 247 daripada 802 kematian Covid-19 yang dilaporkan di Singapura tahun lalu, manakala 555 lagi tidak lengkap divaksin, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Menurut angka kematian yang dibentangkan Ong itu, kebanyakan daripada kematian akibat Covid-19 itu menerima vaksin bukan mRNA.

Bercakap di Parlimen,  Ong memberitahu 11 kematian bagi setiap 100,000 bagi yang divaksinasi dengan Sinovac, 7.8 bagi setiap 100,000 untuk Sinopharm, 6.2 bagi setiap 100,000 untuk Pfizer-BioNTech, dan 1 bagi setiap 100,000 bagi Moderna.

Katanya, perangkaan ini berdasarkan sampel yang agak kecil dan kadar ini hanya satu petunjuk kerana ia tidak mengambil kira faktor lain yang boleh menjejaskan kematian seperti umur dan masa suntikan vaksinasi diambil.

Menurut Ong, walaupun jumlah yang tidak divaksin membentuk “sebahagian kecil” penduduk Singapura, kematian itu membentuk 70 peratus jumlah keseluruhan kematian Covid-19 tahun lalu.

Ketika ini kira-kira 132,000 orang berusia 18 tahun dan ke atas masih belum divaksin, manakala terdapat kira-kira 300 orang yang tidak layak dari segi perubatan.

“Kami akan terus cuba untuk meyakinkan mereka yang layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin, tetapi apabila jumlahnya semakin kecil, ia juga lebih sukar untuk meyakinkan mereka,” katanya.

MOH sudah berjaya memberi vaksin kepada “lebih 90 peratus” daripada setiap kumpulan umur yang layak sejak beberapa bulan lalu,

Bagi warga emas berusia 60 hingga 69 tahun, dan 70 tahun dan ke atas, jumlah yang lengkap divaksin masing-masing 96 peratus dan 95 peratus manakala

yang berusia 12 hingga 19 tahun, 95 peratus sudah lengkap divaksinasi.

Mengenai program dos penggalak di Singapura, kira-kira 46 peratus penduduk sudah menerima suntikan penggalak mereka dan kira-kira 900,000 orang berusia 18 hingga 29 tahun sudah dimasukkan ke dalam program penggalak.

Related posts

Leave a Comment