BANGKOK 10 Jan. – Selepas mencatatkan 8,511 kes semalam, Thailand hari ini merekodkan 7,926 kes termasuk 412 kes import dan 13 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 2,277,476 dan 21,838 orang meninggal dunia.
Daripada 7,926 kes baharu itu, sebanyak 7,731 kes kalangan orang awam, 195 penghuni penjara dan 412 kes import.
Sebanyak 767 kes direkodkan di Chon Buri diikuti Samut Prakan 693, Bangkok 534, Phuket 513, Ubon Ratchathani 383, Nonthaburi 261, Nakhon Si Thammarat 227, Khon Kaen 203, Chiang Mai 200 dan Udon Thani 182.
Sementara itu, Thailand mencatatkan 5,397 kes varian Omicron yang mudah berjangkit di 71 daripada 77 wilayahnya, setakat ini.
Pengarah Biro Komunikasi Risiko dan Pembangunan Tingkah Laku Kesihatan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Watcharasin berkata sejak 1 November lepas, varian Omicron menyumbang 35.17 peratus kes baharu Covid-19.
Bangkok mendahului senarai 1,820 kes Omicron diikuti Chonburi 521 kes dan Phuket 288 kes.
Varian Delta masih merupakan strain Covid-19 yang dominan di Thailand, menyumbang 64.71 peratus manakala Alpha dan Beta masing-masing menyumbang 0.01 peratus dan 0.03 peratus.
Data oleh Jabatan Kawalan Penyakit menunjukkan varian Omicron adalah varian Covid-19 yang dominan dalam seminggu antara 2 hingga 8 Januari menyumbang 70.3 peratus kes baharu manakala Delta menyumbang 29.7 peratus dalam tempoh yang sama.