Omicron: Indonesia sekat 4 lagi negara

JAKARTA 29 Nov. –  Indonesia menyenaraikan empat lagi negara iaitu Angola, Hong Kong, Malawi dan Zambia ke dalam senarai yang dikenakan sekatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap varian Omicron.

Semalam, negara itu mengumumkan sekatan kepada pengembara yang masuk dari Nigeria, Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique dan Eswatini.

Bagaimanapun, Nigeria kemudian dikeluarkan daripada senarai merah itu.

Pengembara yang pulang dari negara telibat, dalam tempoh 14 hari lepas perlu menjalani kuarantin di kemudahan ditetapkan.

Menteri Penyelaras Luhut Pandjaitan berkata tempoh kuarantin wajib bagi pengembara antarabangsa, rakyat Indonesia dan warga asing dilanjutkan kepada seminggu berbanding tiga hari.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Siti Nadia Tarmizi berkata sehingga kini, varian baharu itu belum dikesan di negara ini dan kementerian sedang memantau rapat melalui analisis penjujukan genom.

Sementara itu, kerajaan Indonesia telah membekukan cuti kepada penjawat awam untuk mengurangkan penularan Covid-19 ketika cuti Krismas dan tahun baharu dari 24 Disember hingga 2 Januari 2022.

Kerajaan juga akan mengenakan sekatan mobiliti awam tahap tiga (sederhana) dikenali sebagai PPKM, di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis merayu kepada negara di rantau Asia Tenggara untuk meningkatkan pengawasan, mengukuhkan langkah kesihatan awam dan sosial serta meningkatkan liputan vaksinasi.

Pengarah serantau WHO Dr Poonam Khetrapal Singh berkata “negara mesti meningkatkan pengawasan dan penjujukan” berikutan lonjakan kes Covid-19 global dan pengesanan varian baharu Omicron.

Related posts

Leave a Comment