BERAKAS 29 Nov. – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sebanyak 22 kes baharu jangkitan Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 15,058 orang.
Berbanding semalam, angka jangkitan harian yang direkodkan adalah 44 dan ini bermakna berlaku penurunan kes.
Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar berkata, terdapat tambahan enam kes baharu pada tiga kluster aktif yang sedia ada, yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.
Katanya, dua kluster baharu pula melibatkan lapan kes di mana kluster berkenaan berkait dengan kluster kediaman persendirian.
Beliau juga memberitahu sebanyak lima kluster ditutup berikutan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah 132.
Di samping itu lapan kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Sebanyak 39 kes dilaporkan sembuh yang membawa jumlah kes yang telah sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 14,451 kes, manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 508.
Dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan sekarang, empat kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.
Kesemua kes memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation), dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).
Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen.
Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 1,842 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 614,805 ujian.
