KKM tambah katil ICU

PUTRAJAYA 8 Julai –  Kementerian Kesihatan (KKM) menambah jumlah katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital bawah KKM dan hospital pengajar universiti bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata terdapat penambahan 20 unit katil ICU di Hospital Ampang, manakala lapan katil ICU dan 45 unit katil di wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Katanya, langkah itu adalah antara penilaian semula strategi serta mengenal pasti langkah responsif meningkatkan kesiapsiagaan hospital sekitar Lembah Klang serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu ia membolehkan pesakit COVID-19 Kategori 4 dan 5, dipindahkan segera dari PKRC MAEPS ke hospital berkenaan.

Daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di PKRC MAEPS, 154 daripadanya dikhususkan untuk pesakit Covid-19 Kategori 4 dan ia sudah melepasi kapasiti penggunaan maksimum ditetapkan.

“Baki katil yang disediakan bagi pesakit Covid-19 Kategori 1 hingga 3 pula hampir penuh, berdasarkan data terkini secara puratanya PKRC MAEPS menerima 800 pesakit Covid-19 sehari dengan purata 200 daripadanya adalah pesakit Kategori 4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, selain penambahan katil di PKRC MAEPS, pihaknya juga akan melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan tambahan 60 unit katil dan peralatan tambahan dianggarkan bernilai RM1.1juta.

“Kita turut tubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di HTAR Klang, Selangor.

Selain itu memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan 4,” katanya.

KKM turut melaksanakan segera penugasan semula atau mobilisasi sementara lebih 110 petugas kesihatan yang terdiri daripada 75 pegawai perubatan, anggota paramedik, pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu serta 43 pegawai perubatan dari hospital sekitar Lembah Klang .

“Penugasan mereka ini berkuat kuasa hari ini untuk tempoh satu hingga enam bulan bagi menyokong PKRC MAEPS bagi merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Tindakan lain adalah menambah 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC MAEPS, membuat perolehan ‘oxygen concentrator’ sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal.

KKM juga akan melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan 30 unit ‘oxygen concentrator’ baharu di PKRC MAEPS dan  mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.

Related posts

Leave a Comment