Thailand kuarantin pelawat dari Afrika

BANGKOK 29 Nov. – Pelawat dari negara Afrika yang tidak tertakluk kepada sekatan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali susulan penemuan varian baharu Omicron di Afrika Selatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, Dr Apisamai Srirangson berkata, setakat ini pelawat dari lapan negara Afrika dilarang memasuki Thailand mulai 1 Disember ini.

Negara tersebut adalah Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Menurut beliau lagi, bagi yang tiba sejak 15 November lalu, dianggarkan 200 orang dan dibenarkan meninggalkan pusat kuarantin sebelum 14 hari akan dikesan dan dipantau sehingga 14 hari ketibaan mereka.

Katanya, mereka yang datang dari negara Afrika juga tidak dibenarkan memasuki Thailand di bawah program Test and Go.

Setakat ini,  selain lapan negara Afrika, varian Omicron juga dikesan di Eropah iaitu Itali, Jerman, Netherlands, Britain, Belgium, Republik Czech dan Denmark di samping Hong Kong, Israel dan Australia.

Sejak 1 November sehingga 27 November, sebanyak 1,007 orang tiba di negara ini dari selatan Afrika dan tiada yang diuji positif ketika dikuarantin.

Related posts

Leave a Comment